Sastera Melayu Tradisional terbahagi kepada dua :
1. PROSA
2. PUISI
APA ITU PROSA ?
Prosa tergolong dalam sastera rakyat, sastera hikayat, sastera panji (percaya kepada mimpi - kesaktian - unsur pengembaraan - kayangan - alam ghaib), sastera epik (cerita wira - tokoh), sastera sejarah, cerita nabi dan tokoh islam, sastera kitab, undang-undang ketatanegaraan dan kepustakaan ilmu tradisional.
DEFINISI SASTERA RAKYAT
Menurut Haron Mat Pilah (2000), sastera rakyat adalah hasil sastera milik sesuatu kumpulan masyarakat yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain secara lisan. Istilah sastera lisan pula seringkali disamakan pengertiannya dengan folklore.
CIRI-CIRI SASTERA RAKYAT
💡 Penyebaran dan pewarisan biasanya dilakukan secara lisan
💡 Bersifat tradisional, iaitu hidup dalam suatu kebudayaan dalam waktu tidak kurang daripada dua generasi dan bentuk relatif yang tetap.
💡 Oleh kerana sifat kelisanannya, sastera rakyat wujud dalam pelbagai versi. Walaubagaimanapun, perbezaan versi ini cuma berlaku pada bahagian luaran sahaja, dasarnya tetap bertahan.
💡 Pencipta sastera rakyat ini tidak diketahui. oleh itu, iai menjadi milik bersama masyarakatnya.
💡 Mempunyai fungsi tertentu dalam masyarakat atau kebudayaannya. Misalnya sebagai alat pendidikan, alat pengajaran moral, hiburan, protes sosial dan sebagainya.
💡 Mempunyai logika tersendiri yang tidak sesuai dengan logika umu.
💡 Bersifat sederhana dan seadanya, terlalu spontan dan kadangkala kelihatan kasar, seperti yang terlihat pada anekdot dan sebahagian cerita jenaka.
JENIS-JENIS SASTERA RAKYAT (BERBENTUK CERITA)
1. CERITA BINATANG
Cerita rakyat adalah cerita rakyat yang menggunakan binatang sebagai watak utama. Watak bintang tersebut diberikan sifat-sifat manusia seperti boleh berkata-kata, berfikir dan bertindak seperti manusia.
Cerita binatang terbahagi kepada tiga jenis iaitu :
1. Cerita Binatang Asal Usul
Cerita ini mengisahkan asal usul kejadian binatang misalnya Cerita Mengapa Harimau, Mengapa Gagak Berbulu Hitam, Mengapa Ular Sawa Hilang Bisa, Mengapa Puyuh Tidak Berekor dan sebagainya.
2. Cerita Binatang Fable (pengajaran)
Cerita ini berunsurkan pengajaran, misalnya Cerita Anjing Dengan Bayang-bayang, Cerita Kera dengan Kura-Kura, Cerita Bangau Dengan Ketam dan sebagainya.
3. Cerita Epik Binatang (beast epic)
Cerita ini seperti Hikayat Pelanduk Jenaka dan Hikayat Sang Kancil
2. CERITA JENAKA
Cerita Jenaka adalah cerita rakyat yang mengandungi unsur-unsur jenaka atau lucu yang boleh menimbulkan kegembiraan atau menggeletek hati pendengarnya. Watak-watak cerita jenaka diberikan sifat dan peranan yang kelakar.
Cerita Jenaka terbahagi kepada 2 jenis iaitu :
1. Cerita Jenaka Tempatan
contoh cerita :
Cerita Pak Pandir, Cerita Pak Kaduk, Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Belalang dan Cerita Si Luncai.
2. Cerita Jenaka Pengaruh Asing
contoh cerita :
Cerita Mat Jenin (Hindu), Cerita Musang Berjanggut dan Cerita Abu Nawas (Arab/Parsi/Islam)
*Kelucuan ditimbulkan oleh watak kerana kebodohannya.
3. CERITA PENGLIPUR LARA
Cerita Penglipur Lara ialah cerita rakyat yang popular. Cerita ini mempunyai unsur-unsur percintaan putera-puteri Raja diikuti dengan pengembaraan, perperangan dan berakhir dengan kegembiraan (happy-ending)
Cerita ini disampaikan oleh tukang-tukang cerita yang biasanya akan diiringi dengan alat-alat muzik tradisional seperti rebab, belanga, selampit dan lain-lain.
Struktur cerita penglipur lara ini bermula dengan kelahiran, pengembaraan & penyelesaian .
Antara cerita-cerita penglipur lara yang telah ditulis sebagai buku cerita kanak-kanak ialah :
1. Puteri Gunung Ledang
2. Puteri Santubung dan Puteri Sejinjang
3. Raja Bersiung
4. CERITA TELADAN
Cerita Teladan bermaksud cerita yang mempunyai unsur-unsur pendidikan, pengajaran dan memberi teladan. Pengajaran dan pendidikan tersebut biasanya lebih tertumpu kepada kanak-kanak dan kebanyakannya merupakan pendidikan moral sama ada berlandaskan peraturan hidup sosial, budaya atau agama.
Cerita Teladan mengisahkan tentang golongan rakyat biasa yang mengetengahkan gagasan bahawa watak yang baik itu akhirnya akan mendapat pembelaan, sebaliknya watak yang jahat akan mendapat pembalasan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka.
Antara cerita-cerita teladan yang diterbitkan dalam bentuk buku cerita kanak-kanak ialah :
1. Si Tanggang
2. Batu Belah Batu Bertangkup
3. Bawang Putih Bawang Merah.
5. CERITA MITOS
Cerita Mitos adalah cerita yang dianggap benar-benar terjadi dan dianggap suci.Watak-watak tang terlibat dalam Mitos adalah orang halus, dewa atau separuh dewa. Peristiwa yang diceritakan pula terjadi pada masa lampau dan bukannya di dunia kini. Cerita Mitos ini juga dikenali sebagai cerita asal usul kerana cuba menjelaskan sesuatu kejadian seperti tabiat sesuatu hawian, asal usul sesuatu tempat.
6. CERITA LAGENDA
Cerita mengenai manusia yang adakalanya mempunyai sifat-sifat luar biasa dan dibantu oleh kuasa atau mahkluk ajaib
Cerita-cerita lagenda dipercayai benar-benar terjadi tetapi tidak dianggap suci.
Cerita lagenda wujud apabila ada tokoh atau tempat atau kejadian yang dianggap berharga oleh masyarakat setempat. Oleh itu, ianya diabadikan sebagai satu lagenda.
Antara contoh cerita lagenda yang dibukukan sebagai buku cerita kanak-kanak :
1. Hang Tuah Diuji
2. Lagenda Batu Kawa
3. Naga Berkepala Tujuh
No comments:
Post a Comment